Menu Close

Artikel

 

8 TIPS UNTUK LINDUNGI RUMAH ANDA DARI PENCURI

 

Bagi anda yang memiliki rumah sendiri, keselamatan adalah perkara utama yang mempengaruhi keputusan anda dalam mencari tempat tinggal dan juga apabila anda ingin mengubah suai rumah. Keselamatan adalah salah satu sebab (selain kemampuan) yang menyebabkan ramai yang memilih untuk tinggal di kondominium. Kebanyakan pembangunan kondominium baharu menyediakan ciri keselamatan yang tersedia dan protokol bagi mengelakkan pencuri daripada masuk ke kawasan tempat tinggal.

 

Tetapi bagaimana pula bagi mereka yang tinggal di rumah landed atau di apartmen yang sudah lama dengan sistem keselamatan yang tidak berapa canggih? Bagaimanakah anda boleh merasa tenang dan aman dalam memastikan keselamatan rumah anda terjamin? Kami ada tip-tip yang senang dan mudah bagaimana untuk anada memastikan rumah anda selamat, terutamanya apabila anda bercuti panjang atau terpaksa meniggalkan rumah atas urusan kerja.

 

1. Pintu masuk utama

Yang ini mungkin paling mudah. Tapi ramai yang berfikir takkanlah pencuri akan masuk ikut pintu depan, mestilah pintu belakang dan waktu tengah malam. Jangan begitu, zaman sekarang ini pencuri dah semakin bijak dan masuk ikut pintu depan tau. Zaman berubah, strategi pun mestilah berubah. Kalau anda perasan, kebanyakan kes kecurian kini berlaku pada siang hari, pagi dan pada waktu-waktu yang tak dijangka. Jadi apa kata laburkan lebih modal untuk pintu depan rumah anda dan pastikan ia betul-betul selamat.

Kadang-kadang anda tak perlukan sistem keselamatan berteknologi tinggi. Sistem yang ringkas dan mudah juga dah mencukupi. Sebagai contoh, tombol pintu jenis ‘deadbolt’. Pilih yang mempunyai logam tambahan jenis ‘throw lock’ yang akan dipasang di dalam rangka pintu anda. Selain itu, anda juga boleh memilih pintu yang berkualiti dan kuat. Pasti pencuri kecewa apabila pintu rumah anda susah untuk ditembusi. Jaga dan selenggara pintu rumah sentiasa. Pintu yang berkualiti tinggi pun boleh reput dan menjadi rapuh apabila dah terlalu lama. Ingat, pintu yang kuat melindungi rumah anda dari pencuri setiap masa.

Tip: Pastikan engsel pintu anda sentiasa di bahagian dalam. Jika di luar, ia mudah dipecah masuk nanti

 

2. Elakkan surat berlambak di peti surat

Ini menandakan rumah dah lama tak berpenghuni, atau anda tiada di rumah. Ini adalah petanda yang sangat jelas dan pencuri mungkin dah mula memerhatikan rumah anda. Jadikan satu tabiat untuk mengutip surat yang sampai ke rumah anda. Tak kiralah nak kutip hari-hari atau pada hujung minggu. Nampak macam mudah kan? Tapi perkara kecil seperti inilah boleh menyelamatkan rumah anda daripada menjadi sasaran pencuri.

Tip: Kalau anda tiada di rumah, suruh jiran atau rakan anda tolong kutipkan surat di rumah anda.

 

3. Lampu dengan fungsi sensor gerakan

Peralatan ini berada di sekeliling kita, tapi ia bukanlah sesuatu yang digemari oleh pencuri, terutamanya ketika waktu malam. Ia juga satu cara yang bijak, sebab pencuri takkan sedar yang rumah anda dilengkapi dengan lampu sensor gerakan. Apabila ada cubaan masuk, lampu akan menyala. Itu dah cukup untuk menakutkan mereka. Ia juga sebagai penanda yang ada orang di dalam rumah.

Tip: Pasang di tempat yang anda rasa pencuri mungkin akan cuba masuk. Pastikan ia sukar dilihat. Pencuri yang terkejut dengan lampu ini pasti akan meninggalkan rumah anda serta- merta.

 

4. Jadi lebih PINTAR dengan peralatan sedia ada

Teknologi yang mudah ini boleh menyenangkan anda. Terdapat pelbagai gajet pintar yang boleh di-DIY sekarang yang semakin mudah dibeli dan dipasang. Apa kata anda gunakannya. Peralatan pintar ini boleh dikawal melalui internet dan aplikasi telefon pintar. Sebagai contoh, kini terdapat mentol yang boleh dikawal dengan aplikasi yang memudahkan apabila anda tiada di rumah. Satu idea yang bagus jika pasangkannya di sekeliling rumah anda. Barulah nampak seperti ada orang di rumah.

Sambungkan ia dengan kamera keselamatan WiFi dan anda boleh perhatikan jika terdapat sebarang pergerakan yang mencurigakan ketika tiada di rumah. Pasti membuatkan anda lebih yakin. Rumah lebih selamat dan anda boleh bercuti dengan senang hati.

Tip: Anda juga boleh menetapkan jadual untuk mentol ini menyala pada waktu yang rawak, barulah pencuri tak boleh meneka taktik anda.

 

5. Lindungi media sosial anda

Jangan sangka pencuri hanya memerhatikan rumah anda dari luar sahaja. Mereka juga perhatikan secara digital tau. Rata-rata kita mempunyai media sosial yang boleh dilihat oleh sesiapa sahaja. Jika tersalah langkah, gambar percutian anda boleh disalah guna oleh pencuri. Ia ibarat menjemput pencuri masuk ke rumah dan mengambil barangan kesayangan anda

Tip: Muat naik gambar bercuti anda, SELEPAS anda balik dari percutian.

 

6. Jadikan laman anda perlindung pertama

Batu-batu kecil di laman rumah anda boleh bertindak sebagai pelindung pertama jika ada orang yang mencurigakan berada di laman atau taman rumah anda. Mungkin belum terlintas di fikiran, tetapi apa kata jadikan laman anda kebal dan anti pencuri. Tanam pokok yang mempunyai duri di bahagian hujung laman anda supaya pencuri juga sukar untuk masuk dari situ. Bukan itu sahaja, batu-batu kecil ini akan berbunyi jika ada orang melaluinya. Selain itu, ia juga mencantikkan laman rumah anda.

Tip: Jika pagar anda jenis yang dilitupi oleh pokok, pastikan ia dibersihkan dan tidak terlalu panjang supaya pencuri tidak boleh bersembunyi di sebaliknya.

 

7. Berhati-hati dengan sampah yang anda buang

Kita pasti tak ambil peduli apa sampah yang dibuang, tapi ia juga sebenarnya adalah penanda sama ada rumah anda berpenghuni ataupun tidak. Sebagai contoh, jika anda membuang kotak yang penuh dengan peralatan elektrik yang mungkin nampak bernilai, ia boleh menarik minat pencuri. Ini tanda bahawa terdapat barangan mahal di dalam rumah anda.

Tip: Bawa kotak tersebut, atau sampah-sampah yang boleh dikitar semula ke pusat kitar semula. Bukan sahaja anda membantu selamatkan alam sekitar, malah rumah pun selamat.

 

8. Berkenalan dengan jiran anda

Bersembang dan berkenalan dengan jiran anda sedikit pun tidak mendatangkan sebarang masalah. Aktiviti yang tidak memerlukan sebarang teknologi ini adalah yang paling efektif. Jiran anda akan sentiasa membantu dan menjaga kawasan persekitaran rumah anda supaya sentiasa selamat. Mereka juga boleh memberitahu anda sekiranya terdapat perkara yang mencurigakan atau kecemasan berlaku.

Tip: Tinggalkan lebih daripada satu nombor telefon yang boleh dihubungi apabila anda tiada di rumah. Manalah tahu nombor telefon utama anda tidak boleh dihubungi. Mudahkan?

 

Seperti yang anda dapat lihat, nak pastikan keselamatan rumah sentiasa terjamin tidak semestinya memerlukan modal yang besar. Anda tidak memerlukan sistem keselamatan berteknologi tinggi, kamera keselamatan dan macam macam lagi sepanjang masa (tetapi jika anda mampu, apa salahnya).

Ini adalah langkah-langkah yang mudah dan praktikal untuk memastikan rumah anda selamat dan terjaga. Beberapa langkah yang nampak ringkas ini juga boleh menyelamatkan anda sekeluarga jika berhadapan dengan situasi yang tidak diingini suatu hari nanti.

Sumber: Iproperty

 

 

——————————————————————————————————————-

 

 

REFINANCE RUMAH

Sejak PKPB ni, ramai kawan tanya mengenai Refinance dan minta tolongkan mereka refinance rumah mereka

Jika tanya, kenapa nak refinance. Saya akan terima 2 jawapan

1. Nak cash, boleh buat modal beli rumah tengah murah ni
2. Nak hidup Bos. Dapat TUNAI lebih, boleh jalani hidup tenang 1-2 tahun ni

Refinance rumah adalah cara untuk kita meminjam wang dari bank semula. Bank menjelaskan hutang lama untuk kita dan buat HUTANG baru dengan terma dan syarat perjanjian baru.

Biasanya perjanjian yang baru ini, pembiayaan pinjaman adalah lebih tinggi berbanding baki hutang lama dan kita akan mendapat CASH setelah lebihan bayaran baki hutang.

Refinance biasanya berlaku apabila belaku peningkatan harga pasaran rumah (market value) sedia ada.

Ini membolehkan kita untuk membuat refinance rumah milik kita

Kita ambil contoh
Kita membeli sebuah apartment dengan harga RM150,000 pada tahun 2012. Dengan kadar faedah sebanyak 4.5% untuk tempoh 30 tahun. Pada masa sekarang harga pasaran apartment tersebut sudah meningkat sehingga RM300,000 serta baki hutang kita RM143,466.

Jadi, sekiranya kita menjual apartment tersebut dengan harga RM300,000 – RM143,466 = RM156,534 adalah keuntungan yang kita akan dapat setelah ditolak baki pinjaman dan akan kehilangan apartment sebab sudah dijual

Tapi, jika kita refinance apartment tersebut, kita akan dapat wang keuntungan dan masih mempunyai pemilikan untuk apartment tersebut.

Kita buat contoh pengiraan refinance

👉Baki Hutang = RM143,466
👉Pinjaman Terkini = RM300,000
👉Financing = 90%
👉Jumlah Pinjaman = RM270,000
👉Lebihan = RM126,534

Dengan refinance tersebut kita masih milikan terhadap apartment tersebut dan mendapat cash RM126,534.

Jadi tidak salah untuk kita melakukan refinance rumah asalkan kita mampu untuk membayar komitmen yang baru

Refinance ini juga dapat merancang hutang kita sama ada untuk mengurangkan kadar faedah hutang sedia ada, memanjang atau memendekkan tempoh pembiayaan rumah serta ia juga boleh membantu menyatukan semua hutang-hutang kita.

Refinance ini ada kebaikan dan keburukan.

Kita kena bijak merancang kewangan kita untuk memudahkan kita dalam menghadapi komitmen kewangan.

Justeru, refinance boleh dijadikan opsyen dalam pelaburan hartanah kita atau boleh jadi perangkap kepada kita

 

Artikel oleh: Ahmad Firdaus Mahmod

 

 

 

—————————————————————————————————————-

Pasaran harta tanah dijangka kekal berdaya tahan – JPPH

Bernama | Diterbitkan pada April 30, 2020

KUALA LUMPUR: Pasaran harta tanah Malaysia dijangka kekal berdaya tahan walaupun menghadapi ekonomi yang mencabar tahun ini disebabkan penularan pandemik COVID-19 dengan perumahan mampu milik dan penyelesaian yang tepat kepada harta tanah siap dibina tidak terjual akan terus menjadi agenda utama kerajaan.

Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta Malaysia (JPPH) dalam satu kenyataan pada Rabu berkata pemantauan rapi terhadap pelaksanaan program di bawah Dasar Perumahan Nasional 2.0 (2018 – 2025) dan pelbagai insentif yang telah diperkenalkan untuk mempromosi pemilikan rumah di kalangan rakyat Malaysia dijangka dapat mengatasi situasi siap dibina tidak terjual pada tahun akan datang.

“Sebagaimana jangkaan Bank Negara Malaysia bahawa ekonomi Malaysia akan kembali meningkat pada 2021, selari dengan unjuran pemulihan global, pasaran harta tanah juga diramalkan berada di aliran yang sama.

“JPPH akan terus memantau dan menilai kesan yang dijangka akibat pandemik ini ke atas pasaran harta tanah Malaysia dan akan memberikan nasihat kepada kerajaan untuk memastikan pasaran kekal teguh,” kata jabatan itu bersempena dengan pelancaran sembilan laporan termasuk Pasaran Hartanah Malaysia 2019.

Menurut JPPH terdapat kemungkinan risiko penurunan jangka pendek yang tinggi kesan daripada penularan pandemik COVID-19 yang tidak dijangka di seluruh dunia yang mungkin merendahkan jangkaan pertumbuhan ekonomi, terutamanya bagi setengah tahun pertama tahun 2020.

Wabak yang menjejaskan seluruh dunia itu dijangka mempengaruhi ekonomi dunia dan juga ekonomi Malaysia, khususnya sektor berkaitan pelancongan seperti syarikat penerbangan, peruncitan, makanan dan minuman dan hospitaliti; termasuklah sektor perkilangan dan perkhidmatan terpilih.

“Sejauh mana kesannya ke atas ekonomi Malaysia akan bergantung kepada tempoh dan penyebaran wabak itu bukan sahaja di Malaysia tetapi juga di negara lain, terutamanya negara yang menjadi rakan dagang utama Malaysia.

“Pelbagai insentif diberikan oleh kerajaan dalam usaha mengurangkan kesan terhadap pasaran harta tanah. Bagaimanapun, dalam pasaran yang mencabar, ditambah pula dengan penurunan keyakinan pengguna dan komuniti perniagaan, aktiviti dan serapan pasaran dilihat akan cenderung lebih perlahan,” kata jabatan itu.

Laporan lain yang dilancarkan JPPH hari ini ialah Laporan Pasaran Harta 2019, Laporan Stok Harta Tanah 2019, Laporan Status Harta Tanah 2019, Indeks Harga Rumah Malaysia 2019, Laporan Bangunan Perdagangan: Penghunian dan Kedapatan Ruang Boleh Sewa 2019, Indeks Sewaan Pejabat Binaan Khas (PBO-RI) Lembah Klang, Johor Bahru dan George Town 2019, Harga Kediaman Sukuan/ Tahuan Terkini 2019, Laporan Pindah Milik Harta Tanah RM10 Juta Jilid 16 dan Laporan Jual Beli Tanah Ladang Jilid 26.

Laporan Pasaran Harta Tanah Malaysia menunjukkan bahawa pasaran harta tanah merekod kenaikan yang kecil dengan sejumlah 328,647 pindah milik bernilai RM141.40 billion telah direkodkan pada 2019, iaitu menunjukkan peningkatan 4.8 peratus bagi bilangan dan 0.8 peratus bagi nilai berbanding 2018, yang merekodkan 313,710 pindah milik bernilai RM140.33 billion.

“Prestasi aktiviti pasaran sektor bertambah baik sedikit – kediaman (6.0 peratus), komersial (7.2 peratus), industri (3.8 peratus) dan pertanian (2.0 peratus) kecuali bagi subsektor tanah pembangunan, yang sedikit menurun sebanyak 1.2 peratus.

“Subsektor kediaman menguasai keseluruhan pasaran harta tanah, dengan 63.7 peratus sumbangan,” kata jabatan itu.

— BERNAMA

 

1 Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Compare